Friday, July 23, 2010

UCAPAN DASAR YANG DIPERTUA BKMPJ SESI 2010/2011



Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum W.B.T

Yang dihormati lagi dikasihi, mantan Yang Dipertua BKMPJ 2009/2010 saudara Muhamad Firdaus Bin Mohd Shahidin, mantan AMM BKMPJ 2009/2010, barisan pimpinan baru Ahli Majlis Tertinggi BKMPJ yang baru dilantik, seterusnya saudara saudari ahli Badan Kebajikan Mahasiswa Pahang Jordan yang dirahmati Allah sekalian.

Marilah bersama-sama memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah Subhanahu wa Ta’ala kerana diberikan kepada kita segala nikmat yang tidak terhitung nilainya. Selawat dan salam buat junjungan mulia Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam di atas perjuangan baginda sehingga kita dapat mengecapi dua nikmat terbesar iaitu nikmat Iman dan Islam. Pada hari ini kita diberikan kesempatan oleh Allah untuk berkumpul bagi melaksanakan acara tahunan iaitu Mesyuarat Agung BKMPJ sesi 2009/2010.

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kepada semua ahli BKMPJ di atas kepercayaan yang diberikan kepada saya untuk menggalas tanggungjawab selaku Yang Dipertua BKMPJ bagi sesi 2010/2011. Saya dengan rela hati dan rendah diri menerima pelantikan ini, Inshallah.

Sidang hadirin yang dihormati sekalian,

Kita sedia maklum bahawa setiap pemimpin yang dilantik tidak dapat lari daripada soal tanggungjawab. Tanggungjawab yang diamanahkan dibahu pemimpin bukanlah sesuatu yang dianggap main-main atau sekadar mengisi masa lapang. Amanah yang diberikan kelak pasti akan disoal di mahkamah Allah Azza Wa Jalla. Oleh yang demikian saya memohon ampun kehadrat Ilahi agar dipermudahkan kepada kami barisan pemimpin akan segala urusan yang dilaksanakan dan tidak mudah alpa dengan tanggungjawab masing-masing.

Kesempatan yang diberikan kepada kami untuk menguruskan Badan Kebajikan Mahasiswa Pahang Jordan pada sesi ini tidak akan kami sia-siakan. Kemahiran dalam berorganisasi sudah tentu tidak dibekalkan dalam silibus pengajian di universiti, ianya sudah tentu akan menjadikan nilai tambah kepada semua individu yang terlibat. Kemahiran dalam menguruskan masa pembelajaran dan aktiviti berpersatuan amatlah dititik beratkan agar ianya tidak menjadi bahan tohmahan kelak. Saya mengharapkan barisan pimpinan yang baru dilantik ini dapat menjalankan tugas dengan penuh dedikasi, bertanggungjawab serta amanah dalam apa jua tugasan agar kebajikan ahli terus terpelihara.

Sahabat yang dirahmati Allah sekalian,

Pada sesi kali ini, BKMPJ dengan penuh iltizam akan terus memperkemaskan persatuan agar menjadi lebih proaktif setanding persatuan yang lain . Kami dipihak pengurusan AMT akan terus merancang dan merencanakan pelbagai aktiviti bagi menaikkan lagi nama BKMPJ dimata penuntut Malaysia Jordan. Hubungan yang baik akan terus dikekalkan diantara BKPMJ dengan MPPM,Persatuan Zon serta BKAN yang lain.

Hubungan antara ahli dengan barisan saff kepimpinan akan terus dipertingkatkan melalui aktiviti yang bakal dilaksanakan. Begitu juga perihal ehwal ahli di setiap mantiqah akan terus kami pelihara dan jalinkan agar perjalanan pengurusan pentadbiran terus berjalan lancar. Hubungan yang baik antara saff kepimpinan dengan ahli pasti akan membuahkan hasil yang sangat baik disamping menjaga ukhuwwah sesama Muslim.

Kami juga di barisan kepimpinan tertinggi akan terus menjalinkan hubungan yang baik dengan agensi serta badan-badan rasmi kerajaan Negeri Pahang seperti Yayasan Pahang dan Majlis Agama Islam Pahang dalam usaha mendapatkan bantuan kewangan yang berterusan bagi meneruskan aktiviti persatuan. Sumbangan yang diperolehi akan terus kita gunakan bagi melaksanakan aktiviti yang boleh meningkatkan lagi tahap keintelektualan serta pembangunan modal insan bagi setiap ahli, Inshallah.

Hadirin sekalian,

Dikesempatan ini juga saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada semua ahli siswa dan siswi Pahang yang telah berjaya menamatkan pengajian di bumi Jordan ini. Kepulangan kalian ke tanah air diharapkan mampu memberikan sumbangan serta perubahan ke arah kebaikan khususnya di Negeri Pahang dan Malaysia amnya.

Terima kasih sekali lagi saya ucapkan kepada semua ahli yang sudi hadir dan memberikan kepercayaan kepada kami di barisan pimpinan tertinggi. Diharapkan kepada semua agar terus memberikan kerjasama dan sokongan kepada kami,Inshallah.

Sekian,

Wabillahitaufiq wal hidayah,

Assalamualaikum w.b.t




Teks ucapan ini disediakan oleh :

Syazwan Bin Othman ( Universiti Yarmouk-Iqtisod )

Yang Di-Pertua,

Badan Kebajikan Mahasiswa Pahang Jordan (BKMPJ),

Sesi 2010/2011.

1 comments:

ADUN BUKIT IBAM said...

salam sheikh,congratulations and may Allah bless all of you, pls contact via email dmsa@ymail.com, regarding a visit to jordan and irbid on oktober 2010.....frm ex ydp of bkmpj 1996-1996 & 1996-1997.....syukran jazilan...

Post a Comment